RSS
Selamat Datang ke Layar24. Segala sipnosis, Senarai pelakon dan juga review filem melayu terdapat disini.

LAYAR24 ALBUM

FILEM LEGENDA BUDAK SETAN






SINOPSIS
Kisah bermula dengan Kasyah (FARID KAMIL); seorang pelajar Universiti yang nakal dan sering membuli rakan sekuliah dan pelopor kumpulan anti perempuan, akhirnya terjerat dengan seorang pelajar perempuan yang baru masuk ke kolejnya. Sebelum ini, dialah paling lantang melaungkan slogan anti perempuan dan mentertawakan teman-temannya yang mudah jatuh hati kepada perempuan. Dari situlah bibit cinta bermula; walau mungkin dianggap cinta monyet tetapi tidak lagi, bagi Kasyah.

Ayu (LISA SURIHANI); gadis yang berjaya mencuri hati Kasyah berbelah bahagi sedangkan dia memasuki dan memilih Universiti tersebut pun, adalah kerana mengubat hatinya yang luka, lantaran Azmi (QUE HAIDAR); teman lelakinya yang playboy suka bertukar teman wanita.
Ayu mencabar Kasyah untuk berubah dari menjadi pelajar nakal kepada seorang yang lebih berdisiplin serta berusaha mendapatkan keputusan akademik yang cemerlang, jika mahukan dia membalas cinta itu. Kasyah juga disuruh untuk memohon maaf kepada semua orang yang pernah dianiayainya. Gurauan itu disambut serius Kasyah, dia memohon maaf kepada semua orang yang pernah dianiayainya, dan dia mula berubah sikap. Ayu menerima keikhlasan Kasyah dan bermulalah episode cinta mereka.
Kasyah mendapat dana Universiti dan berpeluang membuat kajian bagi menamatkan pengajiannya. Kasyah berat untuk pergi kerana Ayu, namun atas desakan dan janji Ayu yang akan setia menantinya, Kasyah setuju. Ayu dan Kasyah bersedih di hari Kasyah bersiap untuk pergi.
Secara tak disangka- sangka, Azmi, bekas kekasih Ayu, muncul selepas memerhatikan pemergian Kasyah dari jauh. Ayu merasa jengkel dan meminta Azmi supaya tidak mengganggu hidupnya lagi. Azmi memberi alas an yang kehadirannya adalah kerana ingin menjemput Ayu pulang ke kampong kerana ibunya sakit. Sebenarnya, ini adalah muslihat Azmi yang telah berpakat dengan ibu Ayu, demi untuk mengahwini Ayu. Melalui lakonan ibunya, Mak Leha (SHEILA MAMBO), yang berpura-pura sakit tenat, Ayu disuruh kahwin dengan Azmi, sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir. Ayu serba salah. Ayu menolak namun atas desakan dan kerana kasihankan keadaan ibunya yang dilihatnya tenat, beliau dengan berat hati terpaksa menerima.


Kasyah yang berada di suatu pulau terpencil, sering merindui Ayu. Dia yang gigih menyiapkan tugasan kajiannya tidak mengetahui akan perkahwinan Ayu dengan Azmi. Ayu merahsiakannya kerana tidak mahu Kasyah kecewa..
Masa berlalu. Ayu tak bahagia. Ayu pula ketika itu sekali lagi dipermainkan Azmi yang masih kaki betina dan pemabuk. Azmi seorang lelaki yang tidak bertanggungjawab. Ayu yang mengharapkan Azmi menjadi suami yang baik telah diuji ilahi. Azmi, di sebalik kemewahan dan rezeki yang melimpah masih lagi hidup berfoya-foya. Ayu yang sedaya upaya cuba untuk menjadi isteri yang baik tidak lagi tahan dan pada satu malam sewaktu dia dibelasah Azmi telah melarikan diri dan di dalam kekalutan itu kereta yang dipandunya terbabas dia kemalangan ngeri. Mujur nyawanya masih panjang tetapi seluruh wajahnya telah hancur.


Azmi yang melihat wajah Ayu yang tidak lagi sempurna terus membawa Ayu berjumpa pakar pembedahan kosmetik dengan seorang pakar yang terkenal dan Ayu hanya bersetuju jika wajahnya ditukar! Dia tidak lagi mahu memiliki wajahnya yang dulu lantaran kekecewaan parah. Mahu tak mahu, Azmi setuju dan wajah Ayu di tukar sepenuhnya.
Setelah memakan masa yang panjang dan wajahnya pulih, setelah difikirkan semasak-masaknya Ayu menuntut cerai tak mahu lagi kembali ke pangkuan suaminya dan Azmi terpaksa akur. Dengan wang pampasan perceraian yang diterimanya, Ayu memulakan hidup baru dengan wajah baru serta nama barunya yang dikenali Emilia (SHIKIN KAMAL).


Sementara itu, kasyah pulang setelah menamtkan kajiannya. Alangkah hancurnya hati Kasyah sewaktu mendapat tahu berita itu dari Suzanna (RAJA FARAH). Dia lebih gemar bersendirian dan tak langsung mahu mencari pekerjaan walaupun dia memiliki degree.
Di sinilah satu episod baru bermula dan Ayu; yang kini dikenali nama Emilia mencari semula Kasyah, melalui teman baiknya, Suzanna. Dia tahu Kasyah yang kecewa terus menganggur dan dia merancang untuk memanggil Kasyah bekerja dengan syarikat yang ditubuhkannya. Namun, dia tak mahu identitinya yang sebenar diketahui. Adakah Kasyah akan mengetahui akan identiti Emilia yang sebenarnya? Apakah Emilia terus dibelenggu Azmi yang masih ingin memiliki Emilia? Sejauh manakah kisah perjalanan yang penuh ranjau diantara Kasyah dengan Emilia? Nantikan LEGENDA BUDAK SETAN yang bakal menyerang seluruh pawagam pada 3 JUN 2010...


Secara keseluruhannya filem ini boleh dikategorikan sebagai filem percintaan yang penuh dengan unsur-unsur dramatik yang pastinya berupaya menyentuh sanubari setiap penonton samada lelaki mahupun wanita yang menonton filem ini.
Pertama sekali saya ingin mengucapkan syabas kepada Astro Shaw dan Tarantella Pictures termasuk pengarah dan penerbitnyanya Sharad Sharan kerana berupaya menterjemahkan sebuah karya yang best seller ke layar perak. Namun begitu setelah diperincikan filem tersebut ternyata penonjolan Budak Setan lakonan Farid Kamil kurang dieksploitasikan sepenuhnya sehinggakan wataknya ditransformkan menjadi watak seorang yang romeo (ini amat mengecewakan sebilangan peminat best seller tersebut).

Sebelum memulakan bicara, terlebih dahulu ingin saya tegaskan disini bahawa kritikan yang dikupas ini bukanlah semata-mata ingin menghukum atau mencemuhkan filem ini, jelas di sanubari ini ingin melihat sebuah karya yang agung berupaya di terjemahkan dengan baik tanpa mencacatkan ideologi yang perlu ada dalam karya tersebut. Saya pernah terlibat dalam sebuah produksi dimana sebuah karya novel yang dikarang oleh sasterawan negara di ubah ke bentuk telemovie dan ianya untuk terbitan RTM1. Ternyata nilai-nilai yang penting dalam karya tersebut berjaya di terjemahkan dengan baik tanpa mencetuskan sebarang persoalan. Sebenarnya banyak karya novel yang telah diterjemahkan dalam bentuk telemovie, cerekarama mahupun filem cuma ianya memerlukan masa dan ketelitian yang sewajarnya bagi menentukan babak-babak yang perlu dipentaskan.
Jadi adalah agak pelik apabila penerbit mengatakan bahawa untuk menterjemahkan sebuah karya yang seperti itu bagi memasukkan segala elemen yang ada adalah tidak cukup masanya bagi sebuah tayangan filem. Oleh yang demikian beberapa elemen terpaksa diubah dan dicantas sehingga hilang keserian novel agung tersebut. 
Saya sebenarnya tidak pernah membaca novel tersebut tetapi setelah berdiskusi dengan beberapa peminat yang fanatik terhadap novel tersebut ternyata ianya sangkaan saya betul dan adalah amat terkejut apabila ianya tidak dipentaskan seperti yang sepatutnya.
Pada permulaan filem tersebut telah mengingatkan saya akan filem yang masyhur pada zaman remaja saya iaitu Filem ALI SETAN lakonan Haji Azmil Mustapha dengan gandingan Fauziah Ahmad Daud (OGY). Ternyata Filem ALI SETAN berupaya menonjolkan watak budak setan yang sebenarnya dan situasinya juga agak sama iaitu di Universiti. Padahal mengikut novel tersebut ianya bermula sewaktu era persekolahan iaitu sewaktu Sekolah Menengah. Jika situasi ini menjadi mukaddimah filem tersebut pastinya persamaan antara filem ALI SETAN dengan LEGENDA BUDAK SETAN tidak diketengahkan.
Jikalau pihak penerbit dan pengarah dapat menonjolkan watak budak setan yang mengikut perspektif novel tersebut ianya mungkin berupaya mengetengahkan keberkesanan kenakalan budak setan yang sebenarnya. Walaupun begitu ramai peminat berharap pihak penerbit menerbitkan PREQUEL yang berupaya menonjolkan sebenarnya watak BUDAK SETAN yang dinanti-nantikan oleh peminat fanatik novel tersebut sebelum meneruskan kesinambungan filem tersebut ke episod yang seterusnya.
Ramai peminat menaruh harapan dan penantian jikalau adanya prequel filem tersebut dan ianya pasti akan pecah panggung.

Akhir kata lakonan Que Haidar dalam filem ini adalah yang terbaik diantara banyak-banyak watak yang telah dilakonkan olehnya. Boleh dikatakan watak yang dibawakan oleh Farid Kamil sebagai budak setan tidak menampilkan wajah budak setan yang sebenarnya malah ianya seakan-akan watak yang menjadi kebiasaan yang dibawa olehnya bagi setiap filemnya yang lain....Filem LEGENDA BUDAK SETAN ini sepatunya diubah titlenya menjadi filem KASYAH atau ANTARA KASYAH DAN AYU.

0 comments:

Catat Ulasan

 
Copyright 2010 LAYAR 1MALAYSIA 1 FILEM. All rights reserved.
Layar24 Presented by Areyap.
Bloggerized by Areyap